Sunday, October 31, 2010

MALAS SOLAT?? ITS OK TAPI SEBELUM TU BACA DULU :)

by Abu Muawiyah Satu on Saturday, October 30, 2010 at 10:14am
Meninggalkan solat secara sengaja kerana malas atau lalai baik dia mengakui kewajipan solat atau tidak, kesemua mereka ini termasuk di dalam golongan yang kafir dan terkeluar dari agama Islam. Mereka ini hendaklah bertaubat serta mengucapkan dua kalimah syahadah semula. Dalil-dalil yang menyokong pendapat ini adalah begitu banyak. Ayat-ayat al-Qur’an dan Hadis-hadis Nabi shallahu 'alaihi wasallam yang sahih secara jelas menunjukkan bahawa ibadah solat adalah penentu keimanan seseorang. Meninggalkan solat dengan sengaja boleh menyebabkan pelakunya gugur keimanannya. Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

Patutkah Kami (berlaku tidak adil, dengan) menjadikan orang-orang Islam (yang taat), sama seperti orang-orang yang berdosa (yang kufur ingkar)? Apa sudah jadi kepada akal kamu? Bagaimana kamu menetapkan hukum (yang terang-terang salahnya itu)? Adakah kamu mempunyai sesebuah Kitab (dari Allah) yang kamu baca dan pelajari? Bahawa di dalam Kitab itu membolehkan kamu mendapat apa sahaja yang kamu pilih? Atau adakah kamu mendapat akuan-akuan yang ditegaskan dengan sumpah dari Kami, yang tetap hingga hari kiamat, menentukan bahawa kamu dapat mencapai apa yang kamu putuskan? Bertanyalah kepada mereka: "Siapakah orangnya di antara mereka yang menjamin benarnya hukum: bahawa mereka akan mendapat di akhirat apa yang didapati oleh orang Islam?" Atau adakah mereka mempunyai sekutu-sekutu (yang sefaham dengan mereka? Kalau ada) maka hendaklah mereka membawanya, jika betul mereka orang-orang yang benar. (Ingatkanlah orang-orang yang tidak beriman) akan masa didedahkan kedahsyatan huru-hara (hari kiamat), dan mereka diseru supaya sujud maka mereka tidak dapat melakukannya, Sambil pandangan mereka tunduk malu, serta mereka diliputi kehinaan; dan sesungguhnya mereka (di dunia) dahulu telahpun diseru supaya sujud (tetapi mereka enggan) sedang mereka dalam keadaan sihat. (al-Qalam (68) : 35-43)

Allah Subhanahu wa Ta'ala memulakan ayat ini dengan menyanggah mereka yang menyamakan taraf hamba-hamba-Nya yang taat kepada perintah-Nya dengan mereka yang ingkar atau kafir. Kemudian Allah Subhanahu wa Ta'ala menggambarkan kedaan huru-hara ketika di alam akhirat dan Allah Subhanahu wa Ta'ala memerintahkan hamba-hamba-Nya supaya sujud menyembah-Nya. Namun bagi mereka yang dahulunya di dunia tidak bersujud (bersolat) kepada Allah secara sengaja tanpa uzur, mereka tidak mampu untuk bersujud kepada-Nya berserta orang-orang Islam yang lain. Ini menunjukkan, bahawa mereka itu termasuk golongan orang-orang kafir dan munafik yang mana ketika semua umat Islam bersujud kepada Allah 'Azza wa Jalla namun mereka enggan kerana tidak mampu. Andaikata mereka masih termasuk di kalangan orang-orang Islam tentu mereka mampu bersujud kepada-Nya di alam akhirat kelak. Beginilah hinanya mereka yang tidak mengerjakan solat ketika kehidupan mereka di dunia ini. Allah Subhanahu wa Ta'ala menghinakan mereka malah menyingkirkan mereka dari barisan orang-orang Islam.

Allah Subhanahu wa Ta'ala juga menyamakan mereka yang tidak bersolat dengan golongan Kufur Takzib iaitu mereka yang mendustakan ajaran yang di bawa oleh Rasulullah shallahu 'alaihi wasallam. Kufur Takzib ini adalah termasuk di dalam kategori Kafir Akbar iaitu satu bentuk kekafiran yang boleh menyebabkan pelakunya kekal di dalam neraka selama-lamanya. Firman-Nya:

(Oleh sebab orang yang kufur ingkar tidak percayakan hari akhirat) maka ia tidak mengakui kebenaran (yang diwajibkan meyakininya) dan dia tidak mengerjakan solat (yang difardhukan mengerjakannya)! Akan tetapi dia mendustakan, dan berpaling ingkar! (al-Qiyaamah (75) : 31-32)

Dan apabila dikatakan kepada mereka (yang ingkar): "Taatlah dan kerjakanlah solat", mereka enggan mengerjakannya. Kecelakaan besar, pada hari itu, bagi orang-orang yang mendustakan (perintah-perintah Allah dan laranganNya)! (al-Mursalaat (77) : 48-49)




Mereka yang tidak bersolat bukan sahaja dianggap sebagai tidak beriman dengan perintah Allah 'Azza wa Jalla malah mereka juga adalah termasuk di kalangan golongan Kafir iba’ wal Istikbar (keengganan dan kesombongan) yang juga sebahagian dari jenis-jenis Kafir Akbar. Ini adalah kerana mereka yang sengaja meninggalkan solat bukannya tidak mengetahui akan kerfardhuannya dan azab yang bakal mereka hadapi sekiranya enggan mengerjakannya, namun mereka tetap ingkar disebabkan kesombongan yang wujud di dalam jiwa mereka. Sikap ini adalah sakan-akan dengan kelakuan Iblis ketika Allah Subhanahu wa Ta'ala memerintahkannya untuk sujud kepada Nabi Adam ‘alaihi al-Salam. Iblis tidak menafikan ketuhanan Allah 'Azza wa Jalla namun di sebabkan kesombongannya yang menganggap dirinya lebih mulia dari Nabi Adam ‘alaihi al-Salam maka Iblis ingkar kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala. Hubungan antara mereka yang meninggalkan solat dengan Kafir iba’ wal Istikbar adalah sebagaimana firman-Nya:

Sesungguhnya yang sebenar-benar beriman kepada ayat-ayat keterangan Kami hanyalah orang-orang yang apabila diberi peringatan dan pengajaran dengan ayat-ayat itu, mereka segera merebahkan diri sambil sujud (menandakan taat patuh), dan menggerakkan lidah dengan bertasbih serta memuji Tuhan mereka, dan mereka pula tidak bersikap sombong takbur. (al-Sajda (32) : 15)

Oleh itu bagi mereka yang enggan bersujud (bersolat) kepada Allah 'Azza wa Jalla maka keimanannya telah lenyap dan terpalitlah sifat sombong serta takbur kepada Allah 'Azza wa Jalla.

Ancaman tentang kafirnya mereka yang meninggalkan solat secara sengaja ini juga pernah disuarakan oleh Nabi shalallahu 'alaihi wasallam sebagaimana sabdanya:

Perjanjian di antara kita (orang Islam) dan mereka (orang kafir) ialah solat, dan barangsiapa meninggalkan solat sesungguhnya dia telah menjadi seorang kafir. (Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi no: 2545)

Dan sabdanya lagi :

Sesungguhnya yang memisahkan antara seseorang dengan kesyirikkan dan kekufuran adalah dengan meninggalkan solat. (Hadis riwayat Imam Muslim no: 82)

Jelas kedua hadis di atas menunjukkan bahawa mereka yang meninggalkan solat telah kafir atau gugur keimanannya. Di akhirat kelak mereka akan diletakkan bersama dengan Qarun, Haman, Fir’aun dan Ubai bin Khalf laknatullah yang kafir. Ini sebagaimana diperjelaskan di dalam hadis berikut ini.

Dari Nabi shallahu 'alaihi wasallam bahawa pada suatu hari baginda memperingatkan tentang solat maka baginda bersabda: “Barangsiapa yang memeliharanya (yakni solat), maka dia akan memperolehi cahaya, bukti keterangan dan kebebasan di hari kiamat. Dan bagi mereka yang tidak mengendahkannya (yakni solat), maka dia tidak akan memperolehi cahaya, bukti keterangan dan kebebasan, sedang di hari kiamat dia akan bersama Qarun, Fir’aun, Haman dan Ubai bin Khalf.” (Hadis riwayat Imam Ahmad no: 6288)

Apa kaitannya Qarun, Haman, Fir’aun dan Ubai bin Khalf dengan mereka yang meninggalkan solat? Kebiasaannya mereka yang meninggalkan solat terdiri dari mereka yang terlalu sibuk menguruskan harta, kerajaan, kekuasaan dan perniagaannya. Maka menurut Syaikh Sayyid Sabiq rahimahullah:

Maka orang yang bimbang dengan harta, dia akan senasib dengan Qarun, dan yang sibuk menguruskan kerajaan, dia akan bersama Haman dan sesiapa yang terperdaya oleh kebesaran dan urusan pemerintahan dia akan ditemankan oleh Fir’aun, sedangkan orang yang bimbang menguruskan perniagaan maka dia akan berada bersama Ubai bin Khalf. (Syaikh Sayyid Sabiq Fikih Sunnah (edisi Terjemahan oleh Mahyuddin Syaf, Victory Agencie, Kuala Lumpur, 1990) jilid 1,ms. 198)

Tambahan lagi para sahabat radhiallahu 'anhum telah berpendapat bahawa perbuatan meninggalkan solat boleh menjerumuskan seseorang itu kepada kekafiran. Dari ‘Abdullah bin Syaqiq al-Uqaili, dia berkata:

Tidak ada satu amalan pun yang dipandang oleh para sahabat Muhammad shallahu 'alaihi wasallam bahawa meninggalkannya dapat menjatuhkan kepada kekafiran kecuali solat. (Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi no: 2546)

Umar al-Khaththab radhiallahu 'anh juga pernah berkata: “Tidak beragama Islam bagi orang yang meninggalkan solat.” (Riwayat Imam Ibnu Syaibah dalam al-Iman: 34, dinukil dari kitab Syaikh Muhammad bin Shalih al-‘Utsaimin, Majmu’ Fatawa Solusi Problematika Umat Islam Seputar Aqidah dan Ibadah : Bab Ibadah, (edisi Terjemahan oleh Furqan Syuhada, Qosdi Ridwanullah dan Irwan Raihan, Pustaka Arafah, Solo, 2002) ms. 322. Selepas ini buku ini akan disebut sebagai “Majmu’ Fatawa : Bab Ibadah”.)

Sekianlah perbahasan para ulama’ tentang hukum meninggalkan solat. Apa pun jua para ulama’ telah sepakat bahawa meninggalkan solat merupakan satu bentuk dosa yang besar dan diancam siksa yang amat perit oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala. Penulis lebih cenderung dengan pendapat golongan kedua kerana dalil-dalil yang mereka gunakan adalah lebih khusus berbanding dengan pendapat golongan yang pertama. Penulis juga tertanya-tanya adakah layak bagi mereka yang meninggalkan solat secara terus-menerus secara sengaja masih termasuk di dalam kelompok golongan yang beriman bahawa solat itu disyari’atkan? Secara logiknya tak mungkin bagi mereka yang benar-benar yakin bahawa solat lima waktu itu difardhukan oleh Allah 'Azza wa Jalla dan mereka yakin bahawa meninggalkan solat itu termasuk dosa yang besar serta diancam dengan azab yang perit tetapi di masa yang sama masih tetap melalaikannya secara terus-menerus. Menurut Ibnu Qayyim rahimahullah:

Tidak mungkin orang yang terus-menerus meninggalkannya (yakni solat) itu meyakini (beriman) akan kewajipannya. Kerana keimanan itu memerintahkannya untuk melaksanakannya. Maka jika di hatinya tidak terdetik keinginan untuk melaksanakannya tentulah tidak ada sedikitpun iman di hatinya

No comments:

Post a Comment